Kulit kitab JANGKA RAMPAIAN terbitan Khazanah Fathaniyah, yang simboliknya adalah menonjolkan antara sunnah dan adab makan yang unik dalam Islam.

 

JANGKA RAMPAIAN antara sebuah lagi kitab turath terbaharu yang bakal diterbitkan Khazanah Fathaniyah (KF) untuk tahun 2017 ini. Kitab karya ulama Johor ini agak berbeza berbanding karya-karya terbitan KF yang lain, yang kebiasaannya membicarakan ilmu Aqidah, Fiqh, Tasawuf, Akhlak, Falak, perubatan dan sebagainya mencakupi kelompok keilmuan penting dalam dunia Islam. Namun, JANGKA RAMPAIAN pula adalah sebuah kitab masakan! Uniknya lagi ianya ditulis oleh seorang ulama, dan yang juga sangat banyak menghasilkan kitab. 
Ulama tetap ulama, setiap perbicaraan tidak akan lari menitikberatkan soal keagamaan dalam apa jua keadaan dan setiap sisi kehidupan. Meskipun hanya menulis sebuah kitab masakan, pengarangnya – Qadhi Haji Abu Bakar al-Muari tetap memasukkan unsur-unsur dakwah dan keilmuan Islam dalam karya tersebut. Antaranya, menyertakan khasiat berserta hadith Nabi S.A.W bagi jenis-jenis makanan yang ada hadithnya, menitikberatkan soal kebersihan, ketertiban, hatta protokol sama ada sebelum menghasilkan masakan hingga ke peringkat penyediaan hidangan buat tetamu, selain beberapa perkara lain seperti kaedah menyiang ikan, membasuh daging dan sebagainya. 

Contoh lain, Qadhi Haji Abu Bakar dalam perbicaraan salah satu bab kitab, iaitu ‘Aturan Perkataan Membuat Kad Jemputan’ memberi contoh berkaitan cara mengundang tetamu untuk acara membaca Maulid Nabi S.A.W, bukti ingatan dan kecintaan beliau kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W sangat tinggi. Walhal, beliau boleh saja memberi contoh lain, seperti undangan walimatul ‘arus/ perkahwinan yang lazim diadakan atau undangan-undangan lain. 
Secara keseluruhannya yang utama kitab adalah mengenai resepi pelbagai jenis nasi dari pelbagai tempat iaitu Melayu, Jawa, Arab, India dan Parsi.
________

Maklumat kitab :-

Judul : JANGKA RAMPAIAN (Kitab Masakan)
Pengarang : Qadhi Haji Abu Bakar Muar Johor
Halaman : 110 muka surat
Harga : RM 28.00
Bahasa : Kitab ini dalam bahasa MELAYU, bertulisan JAWI sepenuhnya.
Status : Kitab ini dalam proses dicetak, insyaAllah bakal berada di pasaran pertengahan September ini. Maklumat lanjut untuk hubungi Penerbit Khazanah Fathaniyah:
KHAZANAH FATHANIYAH,
No: 16-1, Jalan Setiawangsa 8,
Taman Setiawangsa,
54200 Kuala Lumpur MALAYSIA.
No. Tel pejabat : +603-4265 6444/ +603-4265 6446
No. bimbit rasmi KF : +6011-3753 1200 (SMS/ Whatsapp sahaja)