Merupakan sebuah karya Haji Wan Mohd Shaghir yang diterbitkan di bahagian Sejarah Bahasa dalam Jurnal Dewan Bahasa keluaran Mac 1991, halaman 252-261. Artikel ini kemudiannya diterbitkan di Khazanah Fathaniyah, berjudul “Koleksi Karya Ilmiah Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah Mengenai Kitab Melayu/ Jawi Dalam Jurnal Dewan Bahasa 1990-1991”.
Petikan PENDAHULUAN:
MUKADIMAH yang ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al Fatani pada Bughyah at Tullab berbeza daripada semua mukadimah beliau pada karya-karyanya yang lain. Mukadimah dalam Bughyah at Tullab agak panjang. Setelah membicarakan dua bidang ilmu, baru ditemukan nama judul kitab ini. Dua bidang ilmu yang saya sebut itu ialah, pertama yang memperkenalkan beberapa banyak hadis yang bersangkut-paut dengan perkara ilmu pengetahuan dan dapat dikategorikan sebagai “Ilmu Hadith”. Bidang ini disambung dengan biografi ringkas Imam Syafie yang dapat dikategorikan sebagai “Ilmu Tarikh”. Pembicaraan tentang hadis ini ditutup dengan sebuah hadis: “Apabila mati anak Adam, putus amalnya melainkan tiga perkara: sedekah yang jariyah, yakni berlaku seperti wakaf, atau ilmu yang memberi manfaat orang dengan dia, atau anak yang salih mendoa ia baginya”. Sesudah kalimat tersebut lalu beliau menyebut nama beliau dengan kalimat: “Maka bergerak lintas pada khatir yang daif, yang haqir lagi fatir serta sedikit makrifat dan pengetahuan, tetapi atas Allah i’timad, bahawa diberi taufik bagi sawab, iaitu faqir yang muhtaj ilallah Taala al Ghani, Daud bin Abdullah bin Idris al Fatani, bahawa menghimpunkan beberapa masalah yang sedikit daripada Abwab al Fiqhi daripada ‘Kitabut Taharah’ hingga akhir ‘Kitabul Ummuhat’. Menurut kebiasaan penulisan tradisional, sesudah kalimat seperti di atas akan disebut terus judul kitab dengan kalimat: “Maka aku namakan…” Tetapi dalam kitab Bughyah at Tullab ini tidak demikian halnya. Sesudah disebut kitab-kitab rujukan lalu diceritakan riwayat hidup Imam Syafie, dan setelah dua muka baru ditemukan judulnya.