Merupakan sebuah karya Haji Wan Mohd Shaghir yang diterbitkan di bahagian Sejarah Bahasa dalam Jurnal Dewan Bahasa keluaran Januari 1991, halaman 58-68. Artikel ini kemudiannya diterbitkan di Khazanah Fathaniyah, berjudul “Koleksi Karya Ilmiah Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah Mengenai Kitab Melayu/ Jawi Dalam Jurnal Dewan Bahasa 1990-1991”.
KITAB Furu’ al Masail yang bercetak terdiri daripada dua jilid tebal yang melebihi 650 halaman menurut ukuran kitab kuning. Halaman pertama dimulai dengan mukadimah daripada pengarangnya sepanjang sekitar sehalaman. Sesudah itu terdapat suatu perkara yang kita anggap sebagai pelengkap sahaja, yang oleh beliau diberi judul “Fasal Pada Menyatakan Beberapa Masalah Yang Bergantung Dengan Usuluddin” yang tertulis dalam lebih kurang tiga belas halaman. Tujuan utama Syeikh Daud bin Abdullah al Fatani menyusun kitab Furu’ al Masail adalah untuk membicarakan perkataan-perkataan yang berkaitan dengan cabang-cabang darı ranting-ranting ilmu fekah. Oleh itu beliau memberikan judul “Bahas Beberapa Furu’ Hukum Fiqhiyah”, yang dimulakan dengan Kitab Taharah menurut susunan kebanyakan kitab fekah dalam Mazhab Syafiie secara berurutan daripada sebuah kitab kepada sebuah kitab yang lain.