Merupakan sebuah karya Haji Wan Mohd Shaghir yang diterbitkan di bahagian Sejarah Bahasa dalam Jurnal Dewan Bahasa keluaran April 1991, halaman 339-349. Artikel ini kemudiannya diterbitkan di Khazanah Fathaniyah, berjudul “Koleksi Karya Ilmiah Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah Mengenai Kitab Melayu/ Jawi Dalam Jurnal Dewan Bahasa 1990-1991”.
Petikan PENDAHULUAN:
PENDOKUMENTASIAN karya-karya Syeikh Daud bin Abdullah al Fatani yang belum pernah diterbitkan telah dijelaskan dalam dua siri terbitan Jurnal Dewan Bahasa bulan November dan Disember 1990. Dalam huraian tersebut juga telah penulis singgung karya-karya beliau yang dikategorikan sebagai kitab nadir. Antaranya termasuklah kitab Hidayah al Muta’allim yang akan diambil datanya di sini. Kitab Hidayah al Muta’allim yang judul lengkapnya ialah: هداية المتعلم وعمدة المعلم (Hidayah al Muta’allim wa Umdah al Muallim) adalah sebuah kitab Melayu/Jawi yang pertama sekali lengkap pembicaraannya tentang ilmu fekah dalam bahasa Melayu (1244H/1828). Sedangkan kitab fekah dalam bahasa Melayu yang pertama sekali mengenai rubuk ibadat sahaja ialah Sirat al Mustaqim karya Syeikh Nuruddin ar Raniri (1044 H-1054 H/1634 M-1644 M). Saya difahamkan oleh beberapa orang bahawa kitab Mir-at at Tullab karya Syeikh Abdur Rauf al Fansuri pun sebuah kitab fekah yang lengkap. Tetapi dalam penyelidikan yang saya lakukan, ternyata semua manuskrip kitab tersebut yang telah ditemukan hanyalah sebahagian daripada fekah sahaja. Demikian juga halnya dengan tulisan yang telah dicetak. Sehingga rencana ini ditulis, saya belum menemukan kitab Mir-at at Tullab yang ditulis dari awal kitab, iaitu “Kitab Taharah” hingga akhir perkara fekah. Oleh sebab itu, saya lebih cenderung mengklasifikasikan Mir-at at Tullab ke dalam model Furu’ al Masail dan Kasyful Litham. Kitab Hidayah al Muta’allim disamakan dengan beberapa buah kitab Melayu/Jawi lain, di antaranya termasuklah Jawahir as Saniyah oleh Syeikh Daud bin Abdullah al Fatani, Matla’ul Badrain oleh Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al Fatani, Arriyadh al Wardiyah oleh Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau, Kifayah al Muhtadi oleh Syeikh Muhammad Nur bin Muhammad al Fatani dan lain-lain.