Merupakan sebuah karya Haji Wan Mohd Shaghir yang diterbitkan di bahagian Sejarah Bahasa dalam Jurnal Dewan Bahasa keluaran November 1990, halaman 857-864. Artikel ini kemudiannya diterbitkan di Khazanah Fathaniyah, berjudul “Koleksi Karya Ilmiah Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah Mengenai Kitab Melayu/ Jawi Dalam Jurnal Dewan Bahasa 1990-1991”.
Petikan PENDAHULUAN:
BIOGRAFI Syeikh Daud bin Abdullah al Fatani yang saya susun buat pertama kalinya diterbitkan oleh C.V. Ramadhani, Solo, 1987. Setelah disemak dengan tambahan yang banyak biografi itu diterbitkan pula oleh Penerbit Hizbi, Shah Alam, 1990. Dalam Majlis Perasmian dan Mesyuarat Agung Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional (IKATAN) Dan Pelancaran Buku oleh Y.A.B. Encik Ghafar Baba Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 20 Julai 1990 di Hotel Equatorial, Kuala Lumpur, buku tersebut mewakili buku terbitan Hizbi di antara lima buah buku daripada penerbit lainnya. Selanjutnya pada 14 September 1990, buku tersebut telah diulas dalam acara ulasan buku di televisyen Malaysia.
Ternyata ketokohan Syeikh Daud bin Abdullah al Fatani banyak mengundang peminat dari pelbagai jurusan pengkaji. Sebenarnya dalam proses penerbitan oleh Hizbi itu saya telah menemukan maklumat-maklumat baru yang tidak sempat dimuatkan. Maka tulisan ini khas memperkenalkan karya-karya beliau yang belum pernah dicetak iaitu karya-karya beliau yang baru ditemukan. Selaras dengan hal yang demikian itu, karya beliau dapatlah dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu:
i. Karya yang banyak diketahui umum kerana masih diterbitkan sampai sekarang.
ii. Karya-karya yang nadir, iaitu karya yang hanya diterbitkan sekali atau paling banyak tiga kali sahaja. Karya nadir tersebut tidak beredar lagi di pasaran bahkan tidak terdapat di perpustakaan.
iii. Karya yang belum pernah diterbitkan. Karya ini ada yang masih berbentuk autograf dan ada yang merupakan salinan yang dibuat oleh orang tertentu.