Pengenalan
Khazanah Fathaniyah
Khazanah Fathaniyah merupakan sebuah penerbitan buku yang hampir keseluruhannya hanya memfokuskan terbitan berkaitan khazanah-khazanah karya ulama silam di Alam Melayu yang meliputi karya berbentuk buku, artifak, gambar, manuskrip dan sebagainya. Diasaskan oleh seorang penyelidik dan penulis khazanah ulama Nusantara, iaitu Tuan Guru Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah. Penubuhan Khazanah Fathaniyah bermula sejak tahun 1995.
Hj Wan Mohd Shaghir bin Wan Abdullah Ar-Riyauwi Al-Fathani
Sejarah penulisan Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah telah bermula sejak zaman mudanya lagi. Kecenderungan beliau dalam menulis khazanah ulama silam alam Melayu ini tidak pernah pudar, bahkan bertambah-tambah giat sehinggalah kembalinya ke rahmatullah. Pada awal sejarah penulisan, beliau hanya bermula dengan tulisan tangan sahaja dengan jumlah halaman yang tidak kurang banyaknya. Dan setelah itu berkembang dan berkembang lagi sehingga teknologi kini iaitu menggunakan komputer.
Pada awal pembabitan, artikel-artikel beliau diterbitkan oleh Yayasan Pendidikan dan Dakwah Islamiyah al-Fathaanah, Kalimantan Barat, Indonesia, iaitu sebuah pusat pendidikan yang diasaskan oleh beliau sekitar tahun 1974. Sehingga kini ianya masih berjalan yang lebih dikenali dengan nama singkatnya sebagai Yayasan al-Fathaanah.
Berikut ingin dikongsikan antara karya-karya Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah Ar-Riyauwi Al-Fathani yang pernah diterbitkan oleh Yayasan al-Fathaanah antara tahun 1970-1980-an. Namun, kesemua karya-karya tersebut telahpun diterbitkan semula oleh Khazanah Fathaniyah dengan pengemaskinian fakta-fakta yang terbaharu hasil dari penyelidikan yang terus-menerus dilakukan oleh beliau sepanjang hidupnya.
Buku yang diterbitkan pada Februari 1983 ini berkisar tentang tokoh ulama yang amat dikenali, iaitu Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani. Tokoh ulama ini amat terkenal dengan karyanya yang berjudul Hidayatus Salikin, merupakan antara kitab yang banyak diajarkan di serata Nusantara baik di Malaysia mahupun beberapa tempat alam Melayu lainnya, seperti di Patani, Malaysia, dan sebagainya.
Raja Ali Yamtuan Muda Riau V, antara tokoh ulama yang terkenal di Indonesia. Buku ini pula diterbitkan pada bulan Oktober 1982.
Ini pula adalah buku terbitan tahun 1988 yang ditulis khusus untuk pengajian, yang membicarakan tentang ilmu Fiqh, Ushuluddin, dan Tasawuf. Antara perkara yang dibicarakan beliau dalam siri ke 3 buku tersebut adalah mengenai bersuci, bersiwak dan pelbagai lagi. Walaupun terbitan buku ini digunakan untuk pengajian di Yayasan al-Fathaanah, namun pengedarannya turut meluas kepada masyarakat luarnya.