Description
Manuskrip ini merupakan koleksi Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, dilabel pada sampul pemilik sebagai No 16 الرانيري نورالدين شيخ المستقيم الصراط, yang disimpan di Khazanan Fathaniyah sehingga ketika ia diterbitkan pada bulan Julai 2023 bersamaan Muharram 1444H. Saiz naskhah 20 x 15 sm dengan ketebalan 3 sm, 218 folio, 437 halaman. Berjilid kanan dengan bahan kain yang lusuh warna merah dan tidak mempunyai sampul pada bahagian hadapan. Sampul di belakang bahan kertas kad dan mempunyai contengan serta catatan “Fashal pada menyatakan ubat…”.
Keadaan naskhah terdapat lubang pada beberapa halaman sehingga menghilangkan sebahagian teks kandungan dan lubang di bahagian tepi kotak teks yang tidak mengganggu kandungan. Terdapat catatan pinggiran di beberapa halaman. Tulisan berwarna hitam dan mempunyai rubrikasi. Kandungan naskhah dalam bahasa Melayu/ Jawi secara keseluruhan dan bahasa Arab pada istilah dan dalil. Mempunyai kata penarik pada bahagian kiri bawah halaman verso, dan dapat dikesan terdapat halaman yang gugur di antara;
- permasalahan dalam bab tayamum hingga sebelum perbahasan sepuluh perkara yang haram pada orang haidh dan nifas,
- mulai selepas syarat ketujuh syarat sahwi sehingga perbahasan Fashal pada menyatakan segala sunat yang dalam ‘itidal,
- selepas syarat keenam zakat perniagaan sehingga Fashal pada menyatakan membahagi zakat…,
- selepas perbahasan “haram berbuka puasa pada orang yang syak akan masuk matahari” sehingga sebelum “Fashal pada menyatakan segala yang wajib atasnya puasa…”,
- selepas perbahasan syarat ketujuh ‘itikaf,
- selepas perbahasan “Fashal pada menyatakan segala yang menegahkan daripada naik haji” sehingga sebelum “bahawa segala dam itu…”.
Naskhah ini tidak lengkap, berakhir dalam perbahasan “Sebermula sunat menamakan kanak-kanak itu pada hari yang ketujuh…”. Pada hujung kitab ini terdapat penulisan berkaitan solat dalam bahasa Arab dan Melayu Jawi.